Promotions‎ > ‎

PERCUMA TETAPI MEMUDARATKAN

posted Feb 22, 2016, 9:45 PM by Coway Malaysia
Oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Hasni Jaafar


MENJADI lumrah sege­lin­tir rakyat negara ini secara mudah me­ngambil apa sahaja yang percuma dan tidak dikawal. Mungkin ada antara kita yang biasa melihat aktiviti seperti di dalam foto, di tepi le­buh­raya atau jalan berbukit di se­ki­tar Kuala Lumpur dan Selangor. Ka­lau dulu, botol kecil yang di­gu­nakan untuk mengumpul air bukit, tetapi sejak akhir-akhir ini, botol besar turut digunakan, mungkin untuk keperluan sendiri atau keluarga, mungkin juga dijual secara kecil-ke­cilan.

Satu kajian kuantitatif air lelehan batu telah dilakukan oleh pelajar Sarjana Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapati air tersebut boleh memudaratkan kesihatan untuk jangka masa panjang. Kontaminasi air tersebut boleh berlaku secara semula jadi atau akibat aktiviti manusia berhampiran dengan punca air tersebut.

Justeru pengambilan air lelehan bukit tersebut harus dihentikan segera. Berikut antara kawasan tersebut.

Alam Damai
Tempat pertama dianalisis adalah lelehan air di tepi jalan Persiaran Alam Damai. Sekelilingnya kawasan rekreasi, perumahan serta hutan. Kandungan plumbum dan kadmium di dalam air lelehan adalah 4.48 dan 15.22 bahagian per bilion (ppb). Jelas bahawa kandungan kadmium air adalah lima kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan dalam air minum (iaitu 3.00 ppb). Kadmium adalah bahan penyebab kanser yang boleh mendatangkan pelbagai masalah ketumbuhan dalam 15 hingga 20 tahun akan datang sekiranya terus diminum. Kadmium juga boleh menyebabkan gangguan buah pinggang, urat saraf, hati dan pemikiran kita. Kandungan plumbum adalah di bawah tahap yang dibenarkan iaitu 10.00 ppb.

Lebuhraya SILK
Berdekatan dengan susur keluar ke Kajang. Air tersebut lagi teruk tercemar dengan kepekatan kadmium tujuh kali (21.29 ppb) lebih tinggi daripada dibenarkan. Kan­dungan plumbum (1.80 ppb) adalah di bawah tahap piawai. Pengguna seharusnya tidak boleh menggunakan air lelehan tersebut untuk masakan atau air minum sama sekali. Selain kemudaratannya, tindakan mengambil air percuma ini juga berbahaya kepada pengguna lalulintas lain kerana boleh mengundang kemalangan dengan deretan kende­raan diletakkan di bahu lebuh raya tersebut.

Sungai Tekali
Terdapat mata air yang didakwa menyihatkan dan telah digunakan hampir 40 tahun. Analisis juga me­nunjukkan bahawa air tersebut mengandungi kadmium sehingga tujuh kali (21.50 ppb) lebih tinggi sepatutnya dan sangat memudaratkan. Terdapat beberapa industri kecil dan sederhana serta kawasan perumahan berdekatan dengan sumber mata air tersebut yang mungkin menjadi sumber kepada logam berat tersebut. Kandung­an plumbum (3.15 ppb) dalam air tersebut di bawah tahap yang dibenarkan.

Batu 18, Hulu Langat
Satu lagi punca air bukit yang menjadi tumpuan orang ramai adalah terletak di Taman Damai, Batu 18 Hulu Langat berdekatan dengan balai polis. Hasil temubual mendapati ramai penduduk Taman Damai menggunakan air tersebut untuk penyediaan keperluan makanan harian mereka. Sekali lagi, kandungan kadmium adalah tinggi (21.87 ppb) melebihi tujuh kali ganda tahap sihat. Kandungan plumbum (8.33 ppb) juga menghampiri tahap tidak sihat bagi air ini. Disarankan agar semua penduduk Taman Damai atau sesiapa sahaja tidak menggunakan air dari punca ini untuk kegunaan masakan atau minuman. Tidak digalakkan juga untuk siraman sayur­an atau buahan.

Jalan Sungai Tua, Ulu Yam
Sumber air di sini turut menjadi tumpuan orang ramai, tetapi bukan untuk makan dan minum sebaliknya digunakan sebagai titis mata yang menyegarkan dan mencerahkan penglihatan. Hasil analisis me­nunjukkan kandungan bahan logam kadmium dan plumbum yang tinggi. Kandungan kadmium 23.00 ppb adalah hampir lapan kali tinggi daripada tahap sihat. Sementara kandungan plumbum 21.02 ppb, melebihi dua kali tahap dibenarkan. Memang benar kadar serapan kedua logam pada bola mata adalah rendah, tetapi lebihan air yang masuk ke rongga dalam boleh menyebabkan kesan kesihatan di usia tua.

Sungai Gahal, Hulu Langat
Ini adalah juga salah satu punca air yang digunakan oleh penduduk setempat dalam penyediaan makanan dan minuman mereka. Terdapat juga peniaga makanan turut mengambil air dari sumber ini. Kajian menunjukkan bahawa kandungan kadmium yang agak tinggi (8.92 ppb), hampir tiga kali ganda tinggi dengan kandungan plumbum yang rendah (4.10 ppb). Sememangnya air ini tidak sesuai untuk makan dan minum serta tidak sesuai untuk kegu­naan peniaga-peniaga tersebut.

Bukit Ampang
Kawasan ini menunjukkan tahap air yang paling tercemar dengan tahap kadmium dan plumbum yang masing-masing tinggi, 23.00 ppb dan 37.34 ppb. Namun punca air ini tidak digunakan untuk penyediaan makanan. Ia hanya digunakan oleh orang setempat untuk membasuh kenderaan mereka. Sekiranya ada yang menggunakan air dari punca ini, segeralah berhenti.

Rumusan
Hampir semua punca air lelehan atau mata air yang menjadi tum­puan ramai di kawasan Kuala Lumpur dan sebahagian Selangor telah tercemar dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai minuman atau untuk penyediaan makanan, bahkan tidak sesuai untuk air siraman sayuran dan cucuk tanam kerana logam tersebut mampu menyerap dan mencemari sayuran hijau.

Justeru, janganlah kerana air itu percuma, kita berebut-rebut menggunakannya tanpa mengambil kira mudaratnya. Berhati-hatilah de­ngan kandungan air percuma tersebut kerana anda mungkin meracuni diri sendiri atau ahli keluarga tanpa disedari.

PENULIS ialah Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan UKM.
Comments